Jamal duduk terdiam di sofa ruang tamu rumahnya. Perlahan dikeluarkan kotak rokok Marlboro merah yang dah tinggal dua batang dari poket kemeja Hawaiinya, dikeluarkan sebatang lantas dinyalakan. Sambil menyedut asap rokok, Jamal melihat recent call di Iphone 4 warna putihnya. Fikiran Jamal melayang jauh. Dialog perbualan selama 3 jam dengan maknya malam semalam masih terngiang-ngiang di liang telinga capang Jamal.
“Mal, bila lagi hang nak bagi Mak menantu? Umoq hang da nak masok 35. Toksah la dok memilih sangat Mal oi. Kalau hang mau, biaq Mak yang carikan hang bini. Belanja apa suma biaq mak yang tanggung. Tu pon kalau hang nak la. Mak ni pon da tua. Takkan hang nak tunggu Mak da nak ‘jalan’ baru hang nak terhegeh-hegeh pi cari bini?”
Perbualan ini lah yang merunsingkan kotak fikiran Jamal. Ini bukan first time perbualan seiras ini dengan maknya, dah berpuluh-puluh kali, tapi semua Jamal buat tak endah. Tapi kali ni maknya guna modal mati ni yang Jamal tak boleh nak melawan. Takut masin mulut maknya, menyesal tak sudah Jamal nanti.
Bukannya Jamal ni tak laku. Jamal mempunyai wajah yang tampan, body tegap kulit sawo matang. Dia berkerja sebagai seorang doktor pakar di Institut Perubatan Respiratori. Rumah banglo lot satu ekar, kereta Audi R8 beli cash siap. Gaji setiap bulan berkepul-kepul. Pendek cerita, cukup perfect untuk masuk list calon menantu dan suami pilihan.
Bukan juga Jamal ni tak ada teman wanita. Sudah ramai awek-awek yang Jamal dah date. Hampir kesemuanya cantik-cantik, comel-comel, molek-molek. Tapi, cuma Jamal yang tak serius, tak mahukan ikatan. Menyusahkan bagi Jamal. Lebih senang hidup solo. Tapi kali ini, Jamal tak ada pilihan. Lantas, Jamal membuat keputusan. Esok, dia akan pergi melamar salah seorang dari teman-teman wanitanya.
Saliha. Gadis ini yang paling Jamal rasa sesuai dijadikan isteri. Jamal sudah kenal 6 tahun. Manis bertudung, kuat pegangan agama, datang dari keluarga orang baik-baik. Maka selepas kerja, Jamal pergi berjumpa Saliha. Jamal terus menyampaikan hajat kepada Saliha.
“Abang Mal, maaf abang, tapi hati Leha sekarang dah ada orang lain.”
Jamal tergamam mendengar hujah Saliha. Perlahan-lahan Jamal mengatur nafas semula. Walaupun agak hampa,tetapi tak apa. Jamal masih ada second choice.
Jamal menghubungi Mariam, teman wanita sejawatan dengannya di cawangan lain. Mariam memang cantik orangnya, versatile, sesuai dengan pangkatnya. Selepas ditetapkan lokasi date, Jamal sekali lagi menyampaikan hajat.
“Jamal, I datang jumpe U ni, sebenarnya I nak bagi kad jemputan nikah I next month. Sorry la ye Jamal. U jangan tak datang pulak tau.” Tercengang Jamal seketika. Terasa sedikit tersangkut salur pernafasan Jamal. Tapi, Jamal masih belum putus asa. Dia masih ada pilihan lain.
Jamal pergi pula berjumpa dengan Nurin, teman wanitanya di universiti dahulu. Selepas Jamal melamar Nurin, Nurin serta merta menangis sekuat-kuatnya.
“Mal, Nurin memang sayangkan Mal. Sudah lama Nurin Tunggu Mal . Tapi Mal tak pernah nak bagi respon kat Nurin. Semalam Nurin baru terima pinangan orang lain. lusa kami nikah.”
Seperti ada fius yang terpotong, fikiran Jamal serta-merta kosong. Segala-galanya sudah tidak memberi erti buat Jamal. Dia hanya mampu ketawa. Ketawa terbahak-bahak walaupun tiada langsung yang melucukan. Ketawa seperti anak kecil diacah-acah. Sehinggalah sebulan kemudian, Jamal diberhentikan kerja, badan yang tegap dah jadi kurus kering, dan masih kelihatan ketawa tak henti-henti di Rumah Bahagia Tampoi.
No comments:
Post a Comment